Monday, December 04, 2006

Permata Hati: Hamil kembar empat unik

Noor Jannah lalui saat paling berharga penuh kejaiban, beri keinsafan untuk teruskan hidup bersama 13 zuriat

BAYI ketujuh pasangan Noor Jannah Ahmad Dini, 37, dan suaminya Ahmad Izhar Mohd Noor, 43, baru berusia tiga bulan. Justeru, Noor Jannah memerlukan alat kontrasepsi ketika itu seperti nasihat doktor agar menjarakkan kehamilan dalam tempoh dua tahun.

Ini bagi menjamin hubungan lebih rapat, selain membantu ibu mendapat rehat secukupnya. Muktamad.

Memilih teknik perancangan paling hebat (seratus peratus jaminan tidak hamil oleh pengamal perubatan), pasangan itu berpuas hati. Bagaimanapun rasa cuak timbul apabila demamnya tidak pernah surut. Beliau terfikir mungkin juga trombositosis yang dihidapi sebelum ini akibat kelahiran lalu, adalah kesan sampingan pengambilan ubat perancang.

Beliau mendapatkan pemeriksaan lanjut dari sebuah institusi kesihatan bagi memastikan tahap kesihatannya. Bagaimanapun, khabarnya hamil dua minggu yang sepatutnya menggembirakan, bertukar duka.

“Dua hari saya menangis, rasa bagai patah hati, memikirkan kesukaran bakal dihadapi, tetapi suami mengingatkan saya, ‘di mana iman kamu’ membangkitkan saya daripada lalai.

“Saya lupa kita Islam. Sejak itu saya memupuk diri melakukan terbaik untuk bayi ini kerana menangis air mata darah pun tidak bererti. Pada bulan ketiga saya melakukan pemeriksaan rutin biasa kerana kandungan besar dan saya syak mungkin ada fibriod dan sebagainya, tetapi tanpa saya duga saya disahkan hamil kembar. Walaupun sebelah suami ada keturunan kembar tetapi saya tidak menyangka akan dapat anugerah sebegitu,” katanya yang menyatakan mungkin keinginannya untuk mendapatkan kembar yang disimpan dalam hati, akhirnya dimakbulkan Allah.

Masuk bulan ke kelima sekali lagi pemeriksaan di jalankan dan beliau diberitahu ‘muncul’ seorang lagi menjadikan bilangan kandungan tiga. Kala itu muncul pula rasa takut, apa akan terjadi pada anak berkenaan sama ada sihat atau sebaliknya kerana doktor menganggap ia agak pelik.

“Saya insaf, dalam kata tidak mahu itu, Allah memberi juga, tetapi hairan kerana saya tidak menghadapi sebarang masalah seperti darah tinggi, atau kencing manis. Masuk bulan ketujuh saya ditahan di hospital Selayang kerana berisiko bersalin bila bila masa.

“Ketika itulah ujian yang saya rasakan cukup payah kerana terpaksa berpisah sementara dengan keluarga apatah lagi si kecil yang bakal menyambut ulang tahun pertama,” katanya.

Besar dugaan hamil kembar, Noor Jannah berkata, empat batang gigi gerahamnya gugur dalam tempoh berkenaan walaupun dibekalkan pil kalsium, dan paling tidak tahan beliau perlu selalu makan kerana rasa lapar tetapi tidak berdaya kerana perut semakin terhimpit dek pembesaran bayinya.

“Di sini saya belajar memahami hidup, kerana ada yang terlalu sukar mendapatkan anak, ada anak yang lahir comel tetapi hanya bertahan hidupnya beberapa hari,” katanya yang menyatakan disebabkan kehamilan itu, berat badan asal 46 kilogram naik ke 87 kilogram.

Katanya, tubuhnya yang besar menyebabkan pelawat hospital yang datang selalu memandangnya dengan rasa pelik, seperti melihat makhluk asing sehingga menyebabkan beliau berasa kurang selesa lantas meminta dipindahkan ke bilik seorang.

“Tetapi saya rasa bosan bersendirian. Kesukaran tidur menyebabkan saya selalu ‘meronda’ wad, menjadi jururawat, membantu ibu menyalinkan lampin bayi, memberikan sokongan dan sebagainya,” katanya.

Kata Noor Jannah, dek terlalu rindukan anak-anak, suatu hari dia ‘mencuri balik ke rumah’ tetapi berasa sedih kerana tidak mampu melakukan sebarang kerja dengan sempurna disebabkan badan yang besar dan berat, akhirnya saya akur, memang betul saya perlu berada di hospital.

“Saat paling menyeronokkan kerana apabila kandungan sampai 33 minggu doktor dan jururawat meraikan saya dengan jamuan kecil. Malah akrab hubungan antara saya dengan kakitangan wad, bagaikan sekumpulan kecil pasukan yang ingin menyelamatkan bayi ini,” katanya.

Menyingkap saat beliau tahu kandungannya empat orang, Noor Jannah berkata, naluri ibu selalu betul.

Suatu hari, katanya, beliau meminta jururawat memeriksa satu bahagian di perut kerana berasa agak berat dan mengatakan mungkinkah ada empat?

“Jururawat berkenaan berkata, ‘nanti doktor marah’ kerana semua persiapan dilakukan untuk tiga saja. Bagaimanapun ia hanya berakhir di situ. Hospital menyatakan hanya tiga tetapi dalam diri, saya yakin ada empat,” katanya.

Noor Jannah berkata, beliau dibenarkan pulang berhari raya hanya lapan jam bersama keluarga dan diingatkan supaya mematuhi tempoh jika tidak pihak hospital akan memanggil polis kerana bayi itu hak hospital.

“Bayangkan, betapa hospital mengambil berat keadaan saya. Masuk minggu 36 kehamilan, saya menjalani imbasan imbasan terakhir sebelum dibawa ke dewan bedah, dan ketika itu jelas kaki bayi keempat nampak, tetapi doktor enggan menyatakan kepada saya mungkin kerana takut saya panik.

“Tetapi saya dengar mereka berkata sesama sendiri, pembedahan perlukan persiapan untuk empat orang. Doktor tidak memberitahu saya kembar empat tetapi suntikan menguatkan paru-paru bayi yang saya terima pada sebelah malamnya menguatkan rasa saya bahawa memang benar ada empat nyawa di dalam ini.

“Pagi esoknya perut saya menjadi keras tetapi saya langsung tidak merasai sakit seperti ingin bersalin. Apabila diperiksa, ada bukaan dan saya terus di bawa ke dewan bedah,” katanya yang menyatakan sepanjang hamil, kuasa Allah menentukan tidak ada sekelumitpun beban membawa kandungan itu.

Kelahiran anak kembar yang secara purata seberat 1.5 kilogram itu dianggap unik kerana setiap kandungan mempunyai kantung kandungannya sendiri dan hanya berkongsi satu uri berbanding kandungan kembar lain yang kebanyakannya berkongsi kantung ketika proses kelahiran.

Itu pengalaman empat tahun lalu yang tidak mungkin akan pudar daripada ingatannya. Hari ini, kembar itu sudah pun menjangkau ke usia lima tahun.

“Semakin ‘nakal’ tetapi saya tekadkan dalam hati, itulah anak, sebesar besar nikmat Allah berikan dan ia perlu dididik sebaik manusia,” katanya.

Jelas beliau, pengalaman itu disifatkan terlalu berharga, malah satu keajaiban kerana memberinya keinsafan untuk meneruskan hidup dengan lebih optimis.

Memenuhi tanggungjawab sesama manusia, beliau kini turut menjadi sukarelawan membantu mana-mana pihak khususnya yang berhadapan anak kembar pertama untuk melalui pengalaman itu dengan lebih baik.

“Ada ibu bapa muda bergaduh dan bermasam muka kerana tidak tahu menangani situasi sebegini. Inilah peranan saya, selalunya pihak hospital akan hubungi meminta khidmat saya,” katanya.

Pengalaman itu turut mengubah persepsi bahawa hospital kerajaan kurang mesra sebaliknya beliau berterima kasih kepada Dr Rasliza Ramli dan Dr Aza Miranda yang banyak membantu memberikan rawatan dan sokongan tidak berbelah bagi sepanjang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

“Nasihat saya, mana ibu yang mengandung kembar, mereka perlu menimba ilmu lebih banyak kerana kadangkala sukar mengawal situasi kerana bayi menangis serentak dan lapar serentak.

“Sebaiknya ibu membuat jadual seperti waktu minum tertentu untuk mengelakkan bayi menangis kerana kadangkala bayi yang pramatang contohnya, lapar dan teringin menyusu tetapi tidak berdaya menghisap,” katanya.

Merapatkan perhubungan dengan anak , dia selalu memberikan hadiah. “Tidak semesti mahal seperti gula-gula kalau diletakkan atas meja tidak besar ertinya berbanding gula-gula yang dibalut cantik, dan kita bagi di tangan mereka dan katakan, ini hadiah kerana berkelakuan baik.

“Selalunya anak akan tanya, mana ibu tahu, saya baik, dan saya selalu jawab, abang yang cakap. Secara tidak langsung mereka akan tahu bahawa kalau saya tiada di sisi, abang atau kakaknya yang akan perhatikan kelakuannya. Di sinilah wujud keakraban antara satu sama lain,” katanya mengakhiri perbualan.

Bakat lukisan yang ada padanya pula, kini diwarisi kembarnya itu dan menjadi sebahagian sumber pendapatan membantu pendidikan anak kembar empatnya dan pada masa sama membiayai perubatan suaminya yang menghidap penyakit jantung berlubang.

INFO:
Nama: Noor Jannah Ahmad Dini
Suami: Ahmad Izhar Mohd Noor
Anak: 13 anak, iaitu 10 lelaki dan tiga perempuan yang berusia antara tiga hingga 20 tahun. Empat daripada 13 anaknya adalah kembar seiras lelaki yang kini berusia empat tahun. Mereka ialah Ahmad Amjad Azri, Ahmad Amjad Bahzi, Ahmad Amjad Fitri dan Ahmad Amjad Ghazi yang lahir pada 25 Disember 2002 menerusi pembedahan selama dua jam.
Kes kelahiran kembar empat seperti itu nisbahnya satu bagi 600,000 kelahiran.
Noor Jannah juga berbesar hati andai ada pihak sudi mendapatkan khidmatnya itu. Beliau boleh dihubungi menerusi talian 016-2382792.


note: kak jannah ni kakak sepupu me :-)

6 comments:

13may said...

oh! kakak sepupu rupanya....:)

Azuan Zameer said...

walaupun entri ni panjang sangat, tapi rash tetap baca sampai habis.. welcome back ker dunia penulisan, uhukkk..

~comei~ said...

13 may: yup kakak sepupu. tu paper hr ni..

rash: tq rash :)

kakLuna said...

syoknya dpt rezeki melimpah ruah mcm kakak sepupu awak tu ye..

~comei~ said...

alhamdulillah...

Anonymous said...

Bahagia dpat kembar.semoga allah jge mbrikan anugerah teristimewa itu pd ku