Wednesday, October 11, 2006

berita dari BERNAMA 1 Okt 06

Pasukan UNMIT Berlepas Untuk Operasi Pengamanan Di Timor Leste


KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Kumpulan pertama daripada dua kumpulan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan berlepas ke Timor Leste untuk menyertai misi pengaman yang dikenali sebagai Misi Bersepadu Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Timor Leste (UNMIT).


Seramai 140 pegawai dan anggota diamanahkan untuk menjalankan operasi pengaman itu, dengan 70 anggota akan berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, jam 1 pagi nanti bagi menyertai operasi pengamanan yang dikenali Ops Hati Budi.

Baki 70 anggota lagi akan berlepas pada 8 Okt ini.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum berkata kumpulan pertama itu akan ditempatkan di Timor Leste selama tiga hingga enam bulan sebelum digabungkan dengan pasukan kedua selepas itu.

"Misi ini ditaja sepenuhnya oleh PBB dan diperuntukkan mengikut perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Timor Leste bagi memulihkan keamanan di Timor Leste.

"Mereka ini akan ditempatkan di negara itu selama tiga hingga enam bulan dan akan mewujudkan satu pasukan polis anti rusuhan serta menjaga keamanan di situ," katanya ketika majlis berbuka puasa dan doa selamat bagi pasukan UNMIT di sini.

Beliau berkata anggota berkenaan telah menjalani latihan intensif selama tiga bulan sebagai persiapan bagi menyertai misi itu.

Johari juga menasihatkan pasukan berkenaan agar menjalankan tugas mereka dengan komited demi nama baik negara.

"Saya memberi jaminan kementerian serta PDRM akan sentiasa bersama anda dan akan menjaga keluarga anda seperti keluarga sendiri... saya janji akan lawat pasukan UNMIT ini ketika Syawal nanti," katanya.

Sementara itu Lans Koperal J.Kulalan, 36, dari cawangan komunikasi PGA berkata ini merupakan kali pertama beliau menyertai misi pengaman di luar negara.

Beliau yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan berkata pasukan UNMIT menjalani latihan jasmani lasak selama tiga bulan dan mereka bersedia menghadapi sebarang rintangan.

"Saya sudah 17 tahun berkhidmat di PGA dan saya kini sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk hadapi sebarang situasi dalam misi ini dan rasa amat bangga kerana akan membawa martabat negara ke perantauan.

"Tetapi saya tetap akan merindui keluarga saya di sini kerana buat pertama kalinya saya tidak berpeluang menyambut Deepavali bersama mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Timbalannya, Datuk Mohd Najib Abdul Aziz turut menghadiri majlis itu.

-- BERNAMA

2 comments:

zamdee said...

mcm dah tau jer kesimpulan nyer, erm..
xpe, berkhidmat utk negara..

tp tak tau ler kot kat Timor Leste tuh ader tpt nak clubbing, hihi..

~comei~ said...

clubbing? clubbing apa eh?

note: mlm td berita kat tv3 note kecik je "rusuhan di dili timor leste semakin menjadi-jadi" huu...