Friday, October 13, 2006

Pasukan PBB ditolak -- Timor Leste mahu tentera pimpinan Australia dikekal

Pasukan PBB ditolak -- Timor Leste mahu tentera pimpinan Australia dikekal

CANBERRA 12 Okt. – Timor Leste telah menolak tawaran penghantaran pasukan tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membendung kekacauan awam, kata Perdana Menterinya, Jose Ramos-Horta.

Negara bergolak itu sebaliknya bergantung kepada pasukan tentera serantau yang diketuai oleh Australia ketika keganasan meletus pada Mei lalu.

Ramos-Horta yang sedang dalam lawatan ke Australia berkata, pasukan tentera serantau telah menjalankan tugas dengan “sangat berkesan.”

“Disebabkan tanggungjawab yang dipikul oleh PBB terlalu besar dalam beberapa konflik besar seperti di Lebanon dan Afghanistan, kami di Timor Leste tidak mahu terlalu mengharap pengaman PBB,” ujarnya.

“Saya yakin dengan PBB dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul di seluruh dunia,” kata beliau.

Lebih 3,200 pasukan pengaman antarabangsa dari Australia, New Zealand, Malaysia dan Portugal ditempatkan di Timor Leste ekoran kekacauan yang berlaku di negara miskin dan baru merdeka itu.

Keganasan yang meletus menyebabkan lebih 30 orang terbunuh.

Polis antarabangsa yang ditempatkan bersama-sama pasukan pengaman bulan lalu secara rasmi menyerahkan tanggungjawab kepada PBB di bawah misi baru yang ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan pada Ogos lalu.

Bagaimanapun komponen ketenteraan misi PBB itu masih belum diputuskan manakala Australia dilapor mahu mengekalkan kawalan ke atas pasukan antarabangsa.

– AFP
di petik dari Utusan Malaysia, 13/10/2006

No comments: